KUALA LUMPUR, 24 FEB : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan harapan agar penularan pandemik COVID-19 dapat ditamatkan dengan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.Menerusi ciapan ringkas, beliau memaklumkan, program imunisasi ini adalah antara ikhtiar bersama untuk terus dilindungi dari pandemik ini.

“Satu sinar harapan dan langkah permulaan penamatan penularan jangkitan COVID-19 dengan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada hari ini. InshaAllah.

“Ini adalah antara ikhtiar kita bersama dan semoga kita semua dilindungi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menyambut baik ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berkenaan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil bagi golongan yang ditetapkan kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sekali lagi menyatakan pendiriannya berkenaan vaksin COVID-19 adalah antara ikhtiar kita yang bertepatan dengan maqasid syariah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.

Hari ini, sejarah bakal tercipta apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNtech di negara ini petang nanti. – AWANI