KAMPAR, 12 Jun – Walaupun ketika awal program vaksinasi diperkenalkan, sambutan rakyat, khususnya penduduk luar bandar, sangat rendah tetapi kini rata-rata mereka begitu teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Ia hasil promosi dan penerangan yang dilakukan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan media.

Beberapa penduduk kawasan pedalaman yang ditemui di Kampung Sahom, Kampar di Perak mengakui pada mulanya mereka takut, tetapi kini tidak lagi.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Sahom, Jamaludin Harun berkata, penduduk kampung sudah dapat menerima vaksin selepas mengetahui kebaikannya.

“Syukur Alhamdulillah penduduk Kampung Sahom ni sudah terbuka minda tentang pengambilan vaksin ini.

“Selama hari ini, banyak cerita-cerita negatif di media tidak rasmi yang menakut-nakutkan orang ramai tapi sekarang orang kampung dah faham,” katanya.

Beliau ditemui ketika program ‘outreach’ vaksinasi Daerah Kampar di Dewan Komuniti Kampong Sahom, pada Sabtu yang disempurnakan Exco Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Bagi pesara komando, Yaakop Saari, orang ramai tidak boleh menerima bulat-bulat berita-berita tidak sah yang disiarkan.

“Mustahil kerajaan nak buat naya kepada rakyat, tentunya mereka nak bagi rakyat semua dalam keadaan sihat.

“Berita-berita negatif-negatif semua tak boleh percaya, macam-macam, nak ikutkan semua orang takut tapi kita sendiri boleh fikir yang mana elok, yang mana tak elok.

“Apa yang kerajaan bagi tu selalunya ok lah, tak ada lah nak nyusahkan rakyat,” ujarnya.

Peraih durian, Md Zabri Harun juga sependapat bahawa orang ramai perlu mendapatkan berita yang betul dan sah daripada pihak-pihak berkenaan.

“Alhamdulillah saya telah divaksin dan setakat ini tak ada apa-apa masalah,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap rakyat jangan rasa ragu dan bimbang untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.