IPOH, 10 Jun – Kesemua petugas media di Perak akan menerima tarikh janji temu masing-masing untuk suntikan vaksin COVID-19 bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Menurutnya JKN Perak telah menerima kesemua senarai nama petugas media membabitkan 123 orang termasuk wartawan, jurugambar atau jurukamera.

“Pihak kami telah menerima kesemua senarai nama petugas media. Justeru hari ini kesemua nama yang disenaraikan itu akan menerima tarikh janji temu masing-masing.

“Ia melibatkan 123 petugas media yang kebanyakannya berada di daerah Kinta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia di sini, pada Khamis.

Terdahulu pada 28 April lalu media melaporkan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei.

Bagaimanapun, isu suntikan kepada petugas media di negara ini mula diperkatakan apabila golongan itu masih belum menerima tarikh janji temu masing-masing seperti yang dijanjikan.

Ekoran itu, beberapa persatuan mewakili petugas media termasuk Kelab Media Putrajaya (KMP), Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Kelab Media Elit Kedah (KMEK) dan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA) juga telah mengeluarkan kenyataan masing-masing bagi meminta suntikan imunisasi itu dipercepatkan.

Semalam, seramai 100 petugas media daripada pelbagai agensi di Lembah Klang dan Putrajaya menerima suntikan di PPV Dewan Sri Seroja bermula pukul 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari.