SUNGAI SIPUT, 26 Jun – Majoriti masyarakat Orang Asli tidak lagi takut untuk menerima suntikan vaksin selepas pelbagai program dilaksanakan bagi menarik mereka menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, antara program ialah menggunakan khidmat idola mereka seperti Tok Batin, guru dan pensyarah di kalangan Orang Asli yang dipercayai masyarakat setempat.

Menurutnya, tiada lagi cerita Orang Asli lari bersembunyi ke dalam hutan dan sungai kerana takut dengan kehadiran pegawai kesihatan di kawasan kampung untuk program vaksinasi.

“Hakikatnya semua dah nak vaksin, mereka pula yang bertanya pada kita bila mereka boleh divaksinkan.

“Mereka memang sangat-sangat hendak vaksinasi sebab mereka pun terasa macam nak seperti dahulu, boleh jalan ke bandar tak payah pakai pelitup muka, mengeteh dan boleh berbagai gerak kerja yang boleh mereka lakukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program pemberian vaksin (PPV) Bergerak Bas Mara Liner untuk masyarakat Orang Asli di Pusat Sehenti Orang Asli di Bawong, Sungai Siput, Perak pada Sabtu.

Hadir sama, dua Exco kerajaan negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menurut Abdul Rahman, sehingga kini, kira-kira 80 peratus Tok Batin di seluruh negara telah menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan vaksin.

Beliau yakin walaupun ketika ini hanya sekitar 30,000 daripada lebih 144,000 Orang Asli yang layak, telah bersetuju untuk menerima vaksin, ramai lagi yang bersedia untuk menerima suntikan itu.

Beliau memberi contoh, 100 orang telah divaksin ketika pelancaran PPV Bergerak Bas Mara Liner walaupun yang mendaftar hanya 60 orang.

Melalui program PPV Bergerak Bas Mara Liner, sebanyak 17 buah bas ekspres milik anak syarikat Mara itu diubahsuai yang dijangka mampu memberi suntikan kepada 800 penerima sehari.