PUTRAJAYA, 21 FEB : Vaksin COVID-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk penghantaran kenderaan darat dari Singapura ke Johor yang dijadual tiba di PSV pada pukul 2 petang hari ini.

Selain itu, vaksin turut diterbangkan ke PSV di Pulau Pinang yang mana ia dijangka tiba pada pukul 6 petang, tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata Malaysia dijangka terima penghantaran kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini.

Terdahulu, vaksin Pfizer-BioNTech yang diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi.

Penerbangan dengan Pesawat Malaysia Airlines MH604 yang dihiasi Jalur Gemilang itu membawa 312,390 dos vaksin.

Fasa pertama progam imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan. – AWANI