KUALA LUMPUR, 19 FEB : Bekalan pertama vaksin COVID-19 buatan syarikat biofarmaseutikal dari China, Sinovac dijangka tiba di Malaysia pada 27 Februari depan.

“Vaksin tersebut akan dihantar secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd,” jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin menerusi Twitter pada Jumaat.

Tambah beliau, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang dalam proses menilai data klinikal Sinovac.

Sebelum ini, Khairy turut memaklumkan bahawa semua perolehan vaksin, termasuk Sinovac, tertakluk kepada kelulusan NPRA sebelum digunakan untuk Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pada 13 Januari lalu, Pharmaniaga mengumumkan telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin COVID-19.

Susulan itu, syarikat tersebut dilaporkan dalam proses perbincangan dengan NPRA untuk mendaftarkan vaksin berkenaan sebelum ia mula dibotolkan pada Februari dan dijangka diedarkan pada akhir Mac.

Vaksin Sinovac telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di beberapa negara termasuk Brazil, Turki dan Indonesia.

Hasil ujian klinikal di Brazil mendapati keputusan 50.4 peratus kadar keberkesanan.

Kerajaan Hong Kong semalam meluluskan penggunaan vaksin Sinovac untuk tujuan kecemasan bagi penduduk di hab kewangan itu.- AWANI