IPOH, 15 Jun- Lantikan klinik swasta bagi pemberian suntikan vaksin COVID-19 mampu meningkatkan bilangan penerima vaksin, sekali gus mempercepatkan sasaran imuniti kelompok di negara ini.

Menurut Pengarah Urusan Perak Medical Centre Sdn. Bhd, Dr. K. Supramaniam, usaha itu juga dapat membantu kerajaan bagi menampung jumlah orang ramai yang mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Hampir kesemua klinik terlibat dengan program vaksinasi ini, jadi lebih ramai orang akan tampil untuk terima vaksin.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja tidak boleh menampung beban bilangan orang yang perlu divaksinasi.

“Dengan membahagikan peruntukan (suntikan vaksin) untuk klinik-klinik swasta. Ia sebenarnya meningkatkan kadar vaksinasi, kini seramai 2.1 juta orang telah menerima dos kedua, kita masih jauh untuk capai sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika pelaksanaan hari pertama suntikan COVID-19 di klinik berkenaan di Jalan Tun Sambanthan, di sini pada Selasa.

Justeru beliau turut menyarankan supaya klinik lain untuk sama-sama membantu mencapai agenda nasional Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ujarnya lagi, Perak Medical Centre Sdn. Bhd merupakan antara klinik terawal di Perak yang menjalankan operasi suntikan vaksin COVID-19.

Cawangan klinik di Kampar juga mula beroperasi hari ini, manakala Silibin, Batu Gajah dan Jelapang akan dilaksanakan minggu depan.

“Bagi fasa permulaan, hari ini kita mula terima 18 orang yang ditetapkan oleh kementerian melalui Mysejahtera.

“Diharapkan jumlahnya akan meningkat dan kita menyasarkan seramai 54 orang penerima dalam minggu ini,” katanya.

Sementara itu, penerima vaksin dalam kalangan warga emas ketika ditemui berkata, proses suntikan yang dilaksanakan di klinik lebih mudah dan cepat.

Zaharah Mat Derus, 80, dari Sungai Siput berkata dia tidak berasa gementar atau takut kerana sudah biasa dengan jarum.

Dia yang hadir bersama anaknya juga menasihati orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu berkaitan vaksin.

“Makcik (hanya) fikir kalau cucuk ni bukan terus mati, kita nak hilangkan dan jauhkan penyakit datang merebak, makcik dah biasa dengan jarum kerana hampir setiap bulan dicucuk untuk diambil darah,” katanya.

Nurul Atikah Yusof, 26, dari Ipoh yang menemani neneknya, Salbiah Giman, 81, turut berpuas hati dengan proses pemberian suntikan di klinik itu.

“Mudah sangat, dia telefon dan suruh jawab dekat MySejahtera. Sampai hari vaksinasi terus datang. Lagi pun saya baru daftar untuk nenek minggu lepas, dan terima maklum balas sangat cepat,” katanya.