IPOH, 13 Sept – Individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh Perak boleh mula mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam mulai hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin menerusi hantaran di laman Facebook.

“Pemberian vaksin secara jumpa terus di semua PPV awam di Negeri Perak bermula 13 September.

“Antara kriterianya adalah individu berusia 18 tahun ke atas selain dibuka kepada mereka yang berstatus warganegara mahupun bukan warganegara yang mana mempunyai dokumen ataupun tiada.

“Mereka yang belum menerima notifikasi janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera amat dialu-alukan untuk mendapatkan suntikan. Walau bagaimanapun inisiatif ini terhad kepada individu terawal bagi slot harian,” katanya.

Selain itu Mohd Akmal mengingatkan agar rang ramai yang ingin hadir ke PPV harus memastikan terlebih dahulu diri mereka tidak bergejala, bukan tersenarai sebagai kontak rapat dan bukan dalam tempoh kuarantin.

Sebelum ini Mohd Akmal dilaporkan berkata sebanyak 12 PPV sedia ada di Perak menerima individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus.

Katanya operasi PPV secara jumpa terus itu dibuka secara berperingkat bermula 4 September lalu dengan pengkhususan tertentu untuk golongan 18 tahun ke atas dan sebahagiannya untuk 40 tahun ke atas sahaja.

Menerusi statistik kadar vaksinasi yang dipaparkan laman sesawang COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan (KKM), setakat pagi tadi Perak mencatatkan 40.7 peratus daripada populasi dewasa lengkap divaksin.

Sementara 58.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 selain 11.2 peratus sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan masing-masing.