IPOH – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida meminta masa sebelum memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan bekas suami pertama­nya yang dikatakan dihalang dari­pada bertemu dua anak mereka.

Edlynn Zamilleen, 15, atau Cik B dan Muhammad Eric Zaquan, 13, atau lebih dikenali sebagai Kacak merupakan anak Hasmiza atau Datuk Seri Vida bersama suami pertamanya, Mohd. Amin Yasin, 42.

Selain Cik B dan Kacak, Mohd. Amin yang berkahwin dengan Datuk Seri Vida pada tahun 2000 turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie.

Bagaimanapun, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie yang ketika itu ma­sing-masing berusia 11 dan 10 tahun meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di rumah Datuk Seri Vida di Meru Hill di sini pada tahun 2013.

Datuk Seri Vida ketika dihubungi ternyata terkejut apabila diminta untuk memberi ke­nyataan berhubung isu ber­kenaan.

Namun katanya, apa yang dilakukan beliau selama ini adalah demi keselamatan anak-anak­nya.

“Saya masih terkejut dan keliru dengan isu ini. Saya akan maklumkan lebih lanjut selepas saya mendapat sedikit ketenangan.

“Terima kasih atas ­perhati­an semua yang mengambil ­berat tentang isu ini. Semua ini de­mi ke­selamatan anak-anak,” ­kata­­­­nya.

Mohd. Amin sah bercerai de­ngan Dr. Vida pada tahun 2008 iaitu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.