IPOH 26 Nov :  Tular rakaman video seorang pemuda dicekik hingga meninggal dunia oleh tiga lelaki lain kerana disyaki mencuri pembesar suara milik salah seorang daripada ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Rakaman insiden yang tular dalam laman sosial Twitter itu dipercayai dirakam di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, Ipoh.

Menurut seorang pengguna Twitter zack_rockstar yang menularkan klip rakaman pergaduhan itu, kematian mangsa hanya dirakam dan disaksikan oleh orang ramai yang hanya berdiri di sekeliling mangsa tanpa memberi pertolongan.

“Beliau mati dicekik kerana disyaki mencuri portable pembesar suara yang tidak seberapa harganya. Kematiannya disaksikan oleh orang ramai, tidak kurang yang merakam video sepanjang kejadian sehingga malaikat maut mencabut nyawanya,” tulisnya di laman Twitter.

Jelas seorang lagi pengguna laman sosial itu nanmanjoi8715, mangsa adalah daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikepung oleh tiga individu yang sihat akal fikiran.

“Musibat ni la yang cekik budak OKU tu sampai mati. Kalau jumpa kasi tibia ramai-ramai…buat malu orang Melayu…buat malu agama Islam,” ciapnya.

Tiga suspek difahamkan sudah ditahan oleh Polis Perak di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas kejadian meragut nyawa itu, rata-rata pengguna Twitter menzahirkan perasaan simpati melihat mangsa yang tidak terdaya melawan pelaku dan meluahkan perasaan tidak puas hati kepada orang ramai yang hanya menyaksikan kejadian itu.

“Pakai songkok tapi tiada sifat kemanusiaan…yang keliling ramai-ramai tu tak rasa bersalah ke biar satu nyawa melayang?,” ciapan abukitol.

“Bila tengok balik video tu rasa nak marah dan kesian betul. Kejam gila kot pukul mangsa sampai mati sambil diperhati masyarakat beramai-ramai. Tiada siapa yang suruh bersabar,” ciapan ikarbertweet.

-UTUSAN ONLINE