Ipoh: Seorang pekerja wanita Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan penjenayah ketika mangsa baru selesai membuat kutipan wang di sebuah dewan di Buntong, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa hanya mampu tunduk ketakutan dalam keretanya sebaik dua lelaki bertopeng memecahkan tingkap kiri dan kanan bahagian depan kenderaan bersenjatakan parang sebelum melarikan wang kutipan kira-kira RM17,000.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang hanya ingin dikenali Fiza, 27, berkata, sebelum kejadian, dia ke kawasan Buntong untuk membuat kutipan mingguan wang AIM secara bersendirian dengan menaiki keretanya Perodua Myvi.

“Saya ke pusat kutipan pertama di kawasan itu pada jam 8.45 pagi dan sejam kemudian ke pusat kutipan kedua di sebuah dewan.

“Selesai membuat kutipan di lokasi kedua, saya menaiki kereta untuk ke lokasi kutipan ketiga, namun belum sempat kereta keluar dari pagar dewan berkenaan, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Waja warna perak menghalang laluan saya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini, semalam.

Fiza berkata, pada awalnya dia menyangkakan kereta itu berhenti untuk menjemput seseorang di dewan itu, tetapi tergamam apabila melihat tiga lelaki berada dalam kenderaan terbabit memakai topeng.

“Belum sempat saya berbuat apa-apa, dua daripada lelaki bertopeng itu keluar dari kereta dengan bersenjatakan parang.

“Seorang suspek ke bahagian tingkap kiri penumpang depan serta seorang lagi di bahagian tingkap saya dan mereka terus menetak tingkap beberapa kali hingga pecah,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dengan pantas dan seorang daripada suspek bertindak mengambil beg berisi wang kutipan yang saya sembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelum kedua-dua lelaki terbabit masuk semula ke dalam kereta dan pemandunya bertindak memecut laju kenderaan.

“Nasib baik mereka tidak mengapa-apakan saya dan hanya mengacukan parang di kepala saya, namun saya mengalami kecederaan kecil luka di muka dan tangan akibat terkena serpihan kaca tingkap yang pecah.

“Ini pengalaman pertama saya disamun ketika membuat kutipan duit AIM dan baru sebulan bertugas mengutip di kawasan Buntong kerana sebelum ini bertugas di Seri Iskandar,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan, rakan setugas yang membuat kutipan di kawasan sama sebelum ini juga pernah cuba disamun, tetapi berjaya menyelamatkan diri dengan menunggang motosikal masuk ke kawasan balai polis.

-myMetro