KUALA LUMPUR, 13 DIS : Seorang wanita yang memiliki susur-galur dari Malaysia, mencipta sejarah apabila menjadi wanita bukan kulit putih paling muda dilantik sebagai datuk bandar di California, Amerika Syarikat (AS).

Jocelyn Yow, 25, dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, sebuah bandar di wilayah Riverside, California, selepas berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandar Eastvale pada tahun 2018 dan menyandang jawatan datuk bandar sementara sejak tahun lalu.

“Saya bangga dan bersyukur dengan peluang untuk berkhidmat sebagai Datuk Bandar Eastvale.

“Tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada bayi berusia enam bulan turut membakar semangat saya untuk berkhidmat pada masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jocelyn adalah anak kepada pasangan imigran di AS. Ibunya dari Vietnam, manakala bapanya berasal dari Malaysia dan datang ke AS pada 1980-an untuk melanjutkan pengajian.

Beliau bersama ibu bapanya berpindah ke Malaysia pada 1996 apabila datuknya menghidap kanser dan tinggal di negara ini lebih 10 tahun, sekali gus membolehkan wanita itu mempelajari budaya dan warisan Malaysia.

“Saya bangga menjadi seorang warga AS berdarah Malaysia, Vietnam dan Cina,” katanya menerusi Instagram.