LUMUT, 15 OKT – Seorang wanita berusia 30-an berdepan detik cemas apabila dicabul lelaki bermotosikal ketika berjoging di Taman Fasa 2J di Seri Manjung di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa sedang berlari sendirian di taman berkenaan sebelum didatangi suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 9.30 pagi mendakwa suspek telah memukul punggungnya.

“Mangsa berjoging di lokasi berkenaan seorang diri sebelum tiba-tiba didatangi sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah belakang.

“Lelaki yang tidak dikenali itu didakwa memukul punggungnya sebelum melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

-Sinar Harian