KUALA KANGSAR, 15 Jun- Seorang wanita rentung apabila kenderaan yang dinaiki terbakar, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain berdekatan lampu isyarat Taman Bunga Raya, dekat sini petang tadi.

Difahamkan mangsa berusia 38 tahun itu memandu van jenis Ford dan berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.55 petang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bergegas ke lokasi kejadian.

“Kenderaan (van) tersebut terbakar kira-kira 90 peratus, didapati terdapat seorang mangsa perempuan berusia 38 tahun tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala penumpang van iaitu seorang lelaki dan wanita selamat.

“Pemandu kereta Nissan X-Trail pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ujarnya lagi, komander operasi membuat size up dan mengumpul maklumat, selain mengarahkan anggota menggunakan satu aliran hose reel bagi memadamkan kebakaran.

Katanya mangsa kemudiannya dikeluarkan dari kenderaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 7.12 malam.