SLIM RIVER, 18 Julai- Seorang wanita warga emas maut setelah basikal yang ditunggangnya digilis sebuah treler di kilometer (KM) 104 Jalan Persekutuan, berdekatan lampu isyarat Balai Bomba dan Penyelamat Slim River.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Supt. Sulizmie Affendy Sulaiman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.15 pagi.

Katanya, siasatan mendapati mangsa yang berusia 58 tahun itu datang dari arah Behrang, sebelum digilis sebuah treler dari arah belakang.

“Siasatan pihak polis mendapati penunggang basikal itu dari arah Behrang.

“Apabila sampai di lampu isyarat telah meneruskan perjalanan ke arah Sungkai.

“Kemudian sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berumur 39 tahun yang datang dari arah belakang telah menggilis basikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya lagi, akibat kemalangan itu mangsa terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa dibawa ke Hospital Slim River bagi tujuan post mortem, manakala pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun.

“Dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM 20,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 jika sabit kesalahan,” katanya.