KAMUNTING – Seorang wanita warga emas maut selepas terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di Jalan Regat Kamunting di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hasimah Chin, 60, yang menunggang motosikal dirempuh Perodua Myvi yang dipandu seorang suri rumah berusia 52 tahun.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit tertekan minyak akibat panik selepas gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh mangsa.

“Mangsa terperosok dibawah kereta dan terseret kira-kira dua meter dari tempat kejadian sebelum terhenti di kaki lima bangunan berhampiran sebuah klinik.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Khidmat Bomba dipanggil untuk mengeluarkan mayat mangsa dengan menggunakan peralatan belon udara dan pengusung.

-myMetro