IPOH: Pengenalan kepada khidmat penghantaran baharu iaitu Warong Rider bukan sahaja bertujuan membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), tetapi menjana peluang pekerjaan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Warong Rider, Mohd Nadzri Kamarulzaman, Warong Rider menawarkan pelbagai khidmat penghantaran seperti makanan, dokumen, ubat-ubatan dan bungkusan serta barangan dapur.

Ujarnya, objektif utama Warong Rider juga dilihat sebagai pelengkap kepada peniaga dan penjaja kecil di seluruh Malaysia, di samping pendekatan khidmat penghantarannya yang lebih mesra pengguna.

“Kita mahu mengurangkan kos,contohnya harga nasi ayam RM 7 masih dikekalkan dengan RM 7, sebab mereka menjual secara sendiri dan menjual kepada golongan yang berhampiran dengan mereka.


“Kita bukanlah pesaing tetapi kita adalah pelengkap kepada peniaga dan penjaja kecil, tumpuan kita adalah untuk membantu peniaga dan penjaja kecil untuk memperluaskan jualan mereka,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran Warong Rider di pejabat Menteri Besar di Ipoh pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Besar Perak,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyempurnakan pra pelancaran tersebut.

Sementara itu, Exco Pembangunan Belia,Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata inisiatif ini dapat menjana 1,200 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Perak khususnya golongan asnaf, menganggur dan B40.

Program ini juga merupakan inisiatif dari Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bersama-sama Creative Technology Sdn Bhd dan Digital Perak.

“Kadarnya lebih rendah dan perkhidmatannya lebih mesra pengguna dalam konteks semua perkara bukan sekadar terhad kepada beberapa produk tapi juga kepada semua produk perkhidmatan.


“Kalau ada pihak yang nak minta khidmat untuk menghatar barangan ataupun surat dokumen dan sebagainya kita juga menyediakan perkhidmatan ini,” katanya.

Khairul berkata rider bagi perkhidmatan ini boleh menikmati kelebihan lain seperti startup kit bernilai RM 250 melalui geran Connectme daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia dan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia.

Mereka juga menerima komisen penghantaran di samping menerima elaun tetap sebanyak RM 1,200 sebulan.

Katanya lagi, dalam fasa pertama, sebanyak 480 jawatan kosong rider akan ditawarkan di bawah 24 kawasan Parlimen di Perak.

Digital Perak juga akan membangunkan satu platform pendaftaran rider di portal Perak Digital untuk memudahkan proses permohonan yang tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan.