GERIK, 8 April – Seorang wartawan sambilan The New Straits Times Press (NSTP), Zulkifly Ab Latif maut selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat sesak nafas dalam aktiviti pendakian bukit di Pulau Tali Kail, Tasik Banding dekat sini pada Khamis.

Ketika kejadian Zulkifly, 41, menyertai Program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli anjuran Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) selama tiga hari bermula kelmarin.

Ketua Operasi dari Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gerik, Saiful Amar Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.27 petang sebelum empat anggota dikerahkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelemat.

“Selepas menerima panggilan tersebut pihak kami bergegas ke Jeti Awam Pulau Banding bagi ke lokasi kejadian.

“Kami tiba di Pulau Tali Kail di Tasik Banding setengah jam kemudian dan terus mendaki bukit kira-kira 45 minit. Kecerunan bukit kira-kira 75 ke 80 darjah.

“Disebabkan itu agak sukar bagi kami menjalankan kerja-kerja penyelemat walau bagaimanapun mangsa berjaya ditemui dan dianggarkan kira-kira 45 minit kami membawa mangsa turun dari bukit,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas berjaya membawa turun jenazah Zulkifly dari bot JBPM Gerik di Jeti Awam, dekat sini pada Khamis.

Jelas beliau faktor muka bumi yang berbukit-bukau itu menyukarkan kerja-kerja membawa turun jenazah mangsa yang menggunakan teknik usungan.

Tambahnya lagi jarak antara kawasan permukaan air dengan lokasi jenazah mangsa ditemui dianggarkan kira-kira 500 meter.

Untuk rekod Zulkifly merupakan antara 18 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi media yang menyertai program anjuran KeTSA itu disekitar Negeri Perak