PUTRAJAYA, 15 FEB : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik. 

Menurut Perdana Menteri, perkara itu merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang berbilang kaum. 

Kata beliau, pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah dielakkan.

“Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah kita kecapi ini demi matlamat peribadi. 

“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara diwujudkan bagi memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan,” katanya ketika berucap melancarkan Dasar Perpaduan Negara menerusi Live Facebook Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik, agama dan budaya sering dijadikan contoh rujukan sebuah negara yang bersatu padu. 

Katanya, walaupun adakalanya wujud perbezaan, persaingan dan konflik, tetapi kesepaduan sosial yang wujud sekian lama dalam masyarakat telah mengekalkan perpaduan rakyat sehingga ke hari ini sekali gus menjadikan negara-negara lain ingin belajar dari negara ini.

Muhyiddin mengambil contoh perpaduan rakyat Malaysia dapat dilihat dengan jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah terutama dalam gelombang Covid-19 yang masih belum reda.

“Kita telah saksikan semangat perpaduan yang ditunjukkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Berbekalkan slogan #KitaJagaKita, rakyat bersama-sama bersatu membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

“Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana kita bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan. Kita patriotik kerana kita inginkan keharmonian dan idamkan perpaduan dalam negara yang kita cintai ini,” katanya. 

Perdana Menteri turut memberitahu, dalam krisis Covid-19, rakyat Malaysia khususnya petugas barisan hadapan telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. 

Kata beliau, sifat empati itu harus diperkukuhkan dalam masyarakat sekali gus mampu membantu usaha mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan.

“Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. 

“Seperti beberapa negara berbilang kaum lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu. Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media,” katanya. – UTUSAN