Kerajaan harus mencari jalan untuk mewujudkan skim pencen awam bagi mengatasi isu miskin persaraan yang bakal dihadapai sebahagian besar populasi Malaysia.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, skim ini boleh diwujudkan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khusus untuk golongan B40.

“Dijangkakan 85 peratus rakyat Malaysia akan berdepan kemiskinan pada usia emas. Saya melihat apa yang boleh dilakukan adalah mungkin mewujudkan satu sistem skim pencen universal atau pencen awam.

“Sekarang kita lihat pencen hanya melibatkan kakitangan kerajaan, tetapi boleh tak kita wujudkan pencen untuk golongan awam, golongan miskin B40 yang bersara ini supaya mereka sekurang kurangnya ada wang minimum untuk menampung kos seharian mereka.

“Pencen ini boleh wujudkan dalam salah satu skim di bawah KWSP sebab dengan aset melepasi RM1 trilion boleh diwujudkan satu peruntukan untuk pemberian pencen kepada mereka yang memang tidak dapat mewujudkan jumlah simpanan cukup apabila bersara nanti,” katanya.

Ahmed Razman berkata skim ini penting kerana berdasarkan unjuran KWSP, jumlah wang persaraan yang selesa adalah sekitar RM240,000.

Namun jika dikira untuk tempoh 20 tahun persaraan, ia hanya memberikan ruang RM1,000 sebulan untuk mereka berbelanja, jumlah yang amat kecil dan belum dicampur dengan kenaikan inflasi.

Tambahnya lebih menyukarkan kerana berdasarkan tangga gaji sedia ada, amat sukar untuk sebahagian besar rakyat Malaysia untuk mempunyai simpanan yang mencukupi melalui KWSP.

Beliau berkata penyelesaian luar kotak harus dilaksanakan memandangkan Malaysia bakal mempunyai sekitar 14 peratus populasi warga emas berusia 65 tahun ke atas di masa depan berbanding hanya 7 peratus ketika ini.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir melahirkan kegusaran mengenai risiko majoriti pencarum berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat COVID-19 memburukkan keadaan menyebabkan jumlah simpanan mereka tidak mencukupi.

Beliau berkata, pada masa ini 48 peratus pencarum KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal.

Katanya, ini peningkatan 28 peratus ahli KWSP yang mempunyai simpanan amat kritikal berbanding sebelum pandemik.

“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia mencapai usia 75 tahun dan ahli KWSP mula mengeluarkan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun, simpanan yang ada perlu mencukupi untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Dalam perkara ini, dengan simpanan median kesemua ahli KWSP di bawah 55 tahun berjumlah RM13,000, bermaksud RM54 sebulan untuk tempoh persaraan mereka,” katanya.