IPOH, 8 APRIL : Pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt menyifatkan nasib menyebelahi pasukannya untuk menang 3-2 ke atas UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Katanya, ia satu perlawanan yang sukar dan pada satu ketika pasukannya seperti kehilangan arah untuk memburu jaringan penyamaan selepas ketinggalan 1-2 di babak pertama perlawanan.

“Kita nampak tergesa-gesa (gol penyamaan) dan pada beberapa ketika pemain seolah-olah terkeluar daripada posisi masing-masing.

“Sebelum bermula babak kedua, saya pesan kepada pemain supaya bermain seperti biasa, fokus dan yakin. Saya gembira sebab mereka dengar apa yang dirancang dan kita berjaya untuk menang pada malam ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Skuad The Bos Gaurus berjaya meledak jaringan menerusi Raianderson pada minit ke-45 dan 77 selain satu lagi gol dihasilkan oleh penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula pada minit ke-69.

Dua gol UiTM FC pula telah dijaringkan oleh pemain import dari Ghana, Nana Poku pada minit-20 dan 40.

Yee Fatt berharap tiga mata yang diraih itu akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk para pemain terus konsisten untuk memburu kemenangan.

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Frank Bernhadt mengakui beliau sangat kecewa dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya terutama barisan pertahanan yang melepaskan gol mudah sekali gus menyebabkan mereka gagal meraih kemenangan.

“Kami bermula dengan baik dan mencipta banyak peluang sehinggalah kedua-dua gol itu. Tetapi kemudian ada antara pemain hilang fokus dan melakukan kesilapan yang pasukan lawan mengambil kesempatan itu dan memenangi perlawanan. Saya agak kecewa tetapi inilah bola sepak,” katanya.

– BERNAMA