Oleh: Aida Aziz

KLIK sahaja di laman Youtube dan anda boleh lihat sendiri pelbagai saluran yang menampilkan aktiviti mukbang yang boleh mencecah sehingga belasan juta tontonan.

Mukbang atau meokbang ialah perkataan dari Korea Selatan yang bermaksud  ‘meokneun (makan) dan ‘bangsong’ (siaran), pendek kata ia merujuk kepada siaran aktiviti makan dalam kuantiti banyak sambil berinteraksi dengan penonton.

Difahamkan fenomena unik ini mula terkenal di Korea Selatan pada tahun 2010 dan kini sudah meluas di seluruh dunia.

Trend ini turut menjadi ruang karya bagi seorang anak muda bernama Muhammad Anuar Abd Ghoni, 27, yang berasal dari Hutan Melintang.

Potensi yang ada dengan menghasilkan kandungan berbentuk mukbang ini digunakan sebaik-baiknya untuk mula menapak di saluran Youtube.

Anuar berkata, cara penyampaian dalam video penting untuk menarik minat penonton, lebih-lebih lagi cara berinteraksi sambil menikmati hidangan makanan.

“Saya namakan channel di Youtube sebagai Nulat Channel, pada permulaan channel itu saya buat sekitar tahun 2013 khusus untuk tugasan masa zaman belajar.

“Lama-kelamaan saya ambil kesempatan itu untuk hasilkan video mukbang dan muatnaik di Youtube, boleh kata secara spontan dan hasil dorongan kawan-kawan juga,” katanya.

Pilih ‘Content’ Mukbang di Youtube

Dia yang kini bekerja sebagai pembantu koperasi sekolah secara sambilan di Teluk Intan, bercita-cita untuk menjadikan hobi mukbang ini sebagai satu sumber pendapatan di masa hadapan.

Anak sulung daripada tiga beradik ini juga mengakui norma baharu akibat pandemik COVID-19 membuatkan kerjaya youtuber bukan lagi perkara asing.

“Saya mula aktif buat mukbang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar bulan Mac, waktu itu memang kena duduk di rumah saja dan timbul idea untuk buat video.

“Saya pilih mukbang kerana ia paling mudah untuk kerja suntingan video, kalau vlog atau drama kena kumpul dan jalan cerita. Tetapi mukbang boleh spontan saja.

“Akan tetapi persediaan untuk buat video penting dan saya mengambil pendekatan bukan tangkap muat, selain peka dengan menu makanan baharu di pasaran,” katanya.

Cabaran Mukbang

Alumni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Teknologi Maklumat ini turut menjadikan Youtuber seperti Matt Stonie dan Isaac Osman sebagai idola dalam penghasilan video berbentuk makan.

Cabaran utama bagi dirinya untuk menghasilkan video adalah membuang rasa malu yang masih menebal, kerana mukbang menuntut youtuber untuk makan di hadapan kamera.

“Kalau rakam makan di rumah sahaja tak jadi masalah tetapi bila di khalayak atau kedai makan kena kental dan buang rasa malu untuk dapatkan content terbaik,” katanya

Jelasnya lagi, mukbang bukan sekadar makan tetapi lebih daripada itu dengan mengambil kira peralatan untuk merakam, kualiti bunyi dan persekitaran.

“Beberapa jam sebelum rakaman saya akan bersenam dan berpuasa dalam beberapa jam untuk pastikan tidak terlalu kenyang, dengan itu baru dapat feel untuk makan,” katanya.

Pentingkan kualiti berbanding kuantiti

Untuk permulaan dia tidak terlalu memikirkan tentang jumlah tontonan di saluran Youtube, kerana baginya jika kualiti video itu baik secara tidak langsung akan menarik minat orang ramai.

Di samping mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan, Anuar juga mahu mendalami bidang ini dari Youtuber lain.

“Saya masih hijau (baru) dalam mukbang, otai mukbang ada titipkan nasihat supaya jangan cepat putus asa walaupun jumlah tontonan tidak banyak.

“Dia nasihatkan supaya terus hasilkan video setiap minggu, buat permulaan jangan fikir soal subcriber, jumlah tontonan atau pulangan wang. Lama-kelamaan dengan sendirinya orang akan sedar dengan kewujudan channel kita,” katanya.