KUALA LUMPUR, 7 APRIL : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat perbualan antara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular di media sosial dan dilaporkan media.

Menurut Ahmad Zahid, rakaman audio yang didakwa perbualan antara beliau dan Anwar itu merupakan percatuan politik yang jijik.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid kecewa dan terkejut dengan dakwaaan terbaharu yang mahu memusnahkan parti UMNO.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis agar siasatan dilakukan bagi mengenal pasti dalang individu atau pihak yang bertanggungjawab terhadap audio berkenaan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin tegaskan tiada sebarang perbualan saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya percaya lebih banyak permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataa, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, beliau sebagai Presiden UMNO tidak akan mencabuli atau membelakangi ketetapan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan PAU2020.

Pada Rabu, satu rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi 4 minit 17 saat di akaun Facebook Insider Malaysia, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam PAU2020 menerusi panggilan telefon. – AWANI