IPOH, 31 JAN – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak berminat untuk kembali menerajui persatuan yang pernah diterajuinya selama lima tahun.

Menurut Zainol Fadzi, masa beliau telah berlalu dengan pelbagai program pembangunan sehingga PAFA berjaya menuai hasil pada 2018 apabila muncul juara Piala Malaysia.

“Saya tidak terlintas langsung untuk kembali ke PAFA, berilah kepada muka baru yang lebih berminat dan mempunyai cita-cita tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut beliau antara tiga Exco kerajaan negeri Perak yang dikatakan layak menerajui PAFA jika Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad enggan menerajui persatuan itu.

Dua lagi Exco yang disebut-sebut layak ialah Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Khairul Shahril Mohamed.

Shahrul Zaman yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor manakala Khairul Shahril ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia.

Zainol Fadzi berkata, menjadi Presiden memerlukan masa dan tumpuan khusus, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 dan senario politik masa kini.

“Terima kasih kepada yang hubungi, memujuk dan menyokong saya untuk kembali ke PAFA, saya amat hargainya,” kata beliau.

Zainol Fadzi pernah menerajui PAFA antara tahun 2010 hingga 2015.